1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh
menempah kejayaan dalam pendidikan.
2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang
pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran
semasa mengikuti pengajaran guru.
4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi
peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau
peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang
bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian
bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang
sebenarnya).
6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang
mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota
ringkas dan sebagainya lagi.
7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh
pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang
hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang
berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka
mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas
yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya
apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah
mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau
mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru
sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah
sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran
yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates
pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses
pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar
dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga
dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang
pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas
perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan
memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama
ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru
berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan
yang diberikan oleh guru mereka.
14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group)
bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan
dalam peperiksaan.
15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan
yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan
buku-buku untuk dipinjam.
16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk
mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri)
seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan
pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang
diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti
anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.
19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang
pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang
berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini
mestilah dipatuhi.
20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan
untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan
bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.
22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat
memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai
buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris,
"Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik
menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu
buku rujukan.
23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan
lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang
diadakan.
25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif
dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak
yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran
yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau
cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang
dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka
melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar
melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan
sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya,
jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar
kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara
menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan
terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli
kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh
menjejaskan kesihatan.
29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan
makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang
dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda
dan kesihatan tubuh badan.
30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada
pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan
kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang.
Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan.
Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang
bakal menghadapi peperiksaan.
31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu
seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang
lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan
daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan
minda pelajar.
33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika
gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan
kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua
bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih
cemerlang.
No comments:
Post a Comment